8 Tips Panduan Mencari Insurans Takaful

Pelbagai syarikat ins/takaful
8 Tips panduan mencari ins/takaful.
 
Sedikit tips untuk anda yang berminat untuk mendapatkan Takaful/Insurans Hayat yang masih mencari-cari plan yang sesuai dengan keperluan dan bajet. Namun jangan biarkan MASA SIHAT berlalu sehingga tiba MASA SAKIT kerana mungkin disaat itu permohonan anda tidak lagi diterima.
 
1. Buat perbandingan kadar sumbangan/permium. Pastikan perbandingan dari segi kadar premium dan manfaat yang ditawarkan. Perbandingan perlulah setara. Biarlah kereta dengan kereta, bukan kereta dengan basikal.
 
2. Fahami perlindungan yang ditawarkan serta terma dan syarat. Pastikan anda memahami apa polisi ins/takaful anda tawarkan. Fahami juga terma dan syarat seperti pengecualian risiko.
 
3. Elakkan sebarang perlindungan yang tidak diperlukan. Beli apa yang anda perlu dan rasa berisiko tinggi dalam kehidupan anda bukan kerana anda terpengaruh dengan manfaat yang anda sendiri tidak faham.
 
4. Pastikan Ins/takaful hayat itu sesuai dengan anda. Kaji polisi yang dicadangkan oleh agen dan dapatkan penerangan satu persatu dan anda boleh membuat pemilihan manfaat tambahan yang sesuai untuk anda.
 
5. Fahami dan pastikan tarikh polisi berkuatkuasa, tempoh menunggu, pengecualian. Ini penting kerana sebelum tempoh berkuatkuasa anda tidak akan dapat membuat tuntutan terhadap ins/takaful tersebut. Fahami juga tentang pengecualian penyakit sedia ada.
 
6. Isikan borang dengan cermat. Pastikan anda fahami dan baca dengan teliti sebelum menurunkan tandatangan.
 
7. Baca polisi anda setelah menerimanya dan simpan dengan cermat. Cuba fahami apa yang tertulis dalam polisi dan pastikan anda tahu risiko apa yang dilindungi.
 
8. Paling PENTING!, kenali agent anda!. Pastikan keserasian anda berurusan dengannya. Merekalah yang anda cari bila anda nak buat sebarang tuntutan (claim) nanti.
Facebook
Twitter
LinkedIn
Telegram
WhatsApp
Email
Print

Borang Quotation

(nombor yang boleh whatsapp & call)
=
=

Views: 8

Risiko Tak Bayar Insurans dan Takaful

Apa pilihan yang ada?

Risiko Tak Bayar Insurans dan Takaful

Anda berdepan kesempitan kewangan? Apakah pilihan yang ada atau boleh dipertimbangkan supaya anda dapat terus membayar premium? Adakala, sesetengah perkara di luar kawalan kita, terutama ketika ketidaktentuan ekonomi. Apabila ekonomi meleset dan ada hilang kerja, antara perkara pertama yang dikurangkan adalah premium insurans mereka. Adakah tindakan ini bijak?

Apakah akibatnya tidak membayar premium anda dalam tempoh tangguh?
Kontrak polisi memperuntukkan ‘Tempoh Tangguh’ (biasanya sehingga 30 hari) yang memberi anda tempoh masa tambahan selepas tarikh genap tempoh bayaran premium. Dalam tempoh ini, anda masih boleh membayar premium dan polisi hayat anda masih berkuat kuasa. Bagaimanapun, jika anda masih tidak membayar premium selepas tempoh itu, bergantung sama ada polisi anda mempunyai nilai tunai mencukupi atau tidak, anda akan menerima makluman daripada penanggung insurans mengenai akibat berikut:

1. Polisi Luput, jika nilai tunai tidak mencukupi (biasanya dalam tahun polisi pertama). Jika ini berlaku, anda tidak lagi menikmati sebarang perlindungan dan menyebabkan anda seisi keluarga terdedah kepada risiko kewangan.

2. Pinjaman Premium Automatik (APL) sudah digunakan menurut polisi hayat supaya polisi anda terus berkuat kuasa jika nilai tunai tidak mencukupi. Bagaimanapun, anda haruslah peka terma dan syarat pilihan itu serta pilihan lain yang ada.

Kemalangan berlaku di mana sahaja

Apakah pilihan yang ada?

Fasal ini dimasukkan dalam polisi insurans hayat anda yang dinamakan fasal Opsyen Tidak Lucut Hak (NFO) yang bermaksud anda dibenarkan berhenti membayar premium dan tidak kehilangan sebarang ekuiti/nilai dalam polisi. Fasal ini dimasukkan untuk melindungi anda sebagai pemegang polisi, jadi jika polisi anda berdepan risiko luput, syarikat insurans dikehendaki memberikan empat pilihan berikut:

1. Memilih Pinjaman Premium Automatik (APL) – jika tiada arahan lanjut.
2. Menukar polisi anda kepada Insurans Berbayar Terkurang (RPU)
3. Menukar polisi anda kepada Insurans Sementara Lanjutan (ETI)
4. Menyerah polisi anda untuk nilai tunainya tetapi anda tiada perlindungan lagi (tidak digalakkan)

Apakah akibatnya membenarkan polisi saya menggunakan Pinjaman Premium Automatik (APL)?
Ini pilihan yang ditetapkan jika anda tidak memilih mana-mana NFO. APL ialah apabila syarikat insurans memberikan pinjaman daripada nilai tunai anda untuk terus membayar polisi anda bagi memastikan terus ‘hidup’. Ini mungkin memberi anda sedikit kelegaan tetapi perlu ingat bahawa pinjaman yang diberikan kepada anda itu dikenakan faedah. Kadar faedahnya ditentukan penanggung insurans (biasanya di antara 6-8 peratus) tetapi boleh berubah dari setahun ke setahun. Walaupun anda boleh terus menikmati perlindungan sepenuhnya daripada semua manfaat polisi semasa anda, manfaat itu akan dikurangkan oleh jumlah atau amaun pinjaman tertunggak berserta semua caj faedah yang dikenakan kemudian jika ia masih tertunggak. Ini akan mengurangkan amaun manfaat kepada ahli keluarga anda dan oleh itu lebih baik jika anda membayar balik pinjaman polisi anda sebaik saja kedudukan kewangan anda mengizinkan.

Bila sakit kritikal terlantar di hospital

Apakah kesan menukar polisi anda kepada Insurans Berbayar Terkurang (RPU)?

Ia merujuk tindakan anda melepaskan nilai muka semasa (jumlah asas diinsurankan) polisi dan menggunakan nilai tunai membeli amaun muka lebih rendah tanpa perlu lagi membayar premium masa depan.

Jika anda mengambil pilihan ini:

*Semua rider yang dilampirkan pada polisi asal anda seperti perubatan dan kesihatan, penyakit kritikal, kemalangan diri dan sebagainya akan dibatalkan;
*Anda tidak layak menerima sebarang dividen/bonus yang mungkin diisytiharkan oleh syarikat insurans;
*Anda mungkin dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan jika anda berhasrat untuk menukar polisi kepada terma dan syarat asalnya dan membayar semua premium yang tertunggak;
*Anda mungkin tidak dapat mengembalikan semula atau berbalik kepada pelan insurans hayat anda yang asal.

Apakah akibat menukar polisi anda kepada Insurans Sementara Lanjutan (ETI)?
Ia merujuk keadaan yang mana amaun muka atau jumlah asas diinsuranskan dalam polisi anda tetap sama, tetapi anda menggunakan nilai tunai anda untuk membeli polisi sementara. Tempoh insurans bergantung pada amaun Nilai Tunai yang akan digunakan untuk membeli insurans sementara pada umur tercapai anda berdasarkan tarikh genap tempoh premium yang gagal dibayar. Kesannya sama seperti pilihan RPU.

Apakah akibat menyerah polisi anda untuk nilai tunainya?
Ini jalan terakhir kerana menyebabkan anda kehilangan perlindungan. Amaun yang mungkin anda terima apabila anda menyerah polisi anda sebelum masanya adalah jauh kurang daripada premium yang anda bayar dan seelok-eloknya anda mempertimbangkan tiga pilihan yang dinyatakan di atas.

Artikel dipetik daripada Berita Minggu, Ahad, 30 Oktober 2011.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Telegram
WhatsApp
Email
Print

Borang Quotation

(nombor yang boleh whatsapp & call)
=
=

Views: 3

Syarat tuntut pampasan insurans

insurances claims
tuntutan insurans

Syarat Tuntut Pampasan Insurans.

 

Dokumen lengkap, tiada unsur tipu mudahkan usaha pembayaran polisi

SERING kali pemegang polisi insurans mengeluh ketika membuat tuntutan insurans kerana mendakwa lewat dan sukar untuk membuat tuntutan. Tidak kurang yang mendakwa syarikat insurans menaburkan ‘janji palsu’ apabila saat tuntutan mahu dibuat atau mengenakan syarat ketat ketika tuntutan dipohon.

Benarkah dakwaan itu atau masalah berkaitan tuntutan sebenarnya disebabkan kesilapan dan kecuaian pemegang polisi yang tidak menyertakan dokumen lengkap atau tidak benar-benar memahami manfaat insurans yang ditawarkan?

Pengurus Kewangan dan Eksekutif Kanan, Prudential Assurance Malaysia Berhad , Mohd Haniff Mohd Ramza berkata, pemegang polisi yang sukar membuat tuntutan adalah disebabkan mereka tidak memberi maklumat lengkap atau sepenuhnya ketika membeli insurans.

Pada masa sama, ejen insurans pula tidak mengambil maklumat diperlukan seperti yang termaktub dalam borang insurans.

“Saya percaya jika semua maklumat diberikan pemegang polisi tepat ketika mengisi borang insurans seperti butiran kesihatan serta penyakit yang sedia ada, maka isu tuntutan tidak dibayar syarikat insurans tidak akan timbul,” katanya.

Mohd Haniff berkata, kaedah membuat tuntutan itu turut bergantung kepada setiap kes individu dan laporan perubatan pihak doktor jika ia membabitkan insurans hayat dan kesihatan.
“Jika pemegang polisi menggunakan kad perubatan, proses tuntutan adalah amat mudah dan cepat kerana pemegang polisi hanya perlu mendapat kelulusan pihak doktor untuk dimasukkan ke wad. Proses kemasukan wad menggunakan kad perubatan perlulah diikuti dengan bayaran pendahuluan antara RM200 hingga RM300 kepada pihak hospital dan pihak hospital pula akan mendapat kelulusan melalui pihak Prudential sama ada polisi pemegang polisi masih aktif.

“Perlu diingat, kad perubatan tidak boleh digunakan untuk tujuan kemasukan wad jika polisi insurans itu sudah tamat tarikh luputnya. Jadi, sebagai pemegang polisi mereka perlu sentiasa ingat membayar premium insurans tepat pada masanya untuk mengelak polisi daripada luput,” katanya.

Beliau berkata, di Prudential, pemegang polisi yang menggunakan kad perubatan harus mendapat kelulusan rasmi (Surat Jaminan Awal) daripada pihak Jabatan Tuntutan di syarikat berkenaan.

“Semua proses ini akan dikendalikan antara pihak hospital dan Jabatan Tuntutan di Prudential. Pihak ejen pemegang polisi boleh membantu mempercepatkan proses kemasukan wad menerusi panggilan ke Jabatan Pelanggan bagi mendapatkan status terkini proses itu.

“Sebelum pihak pemegang polisi keluar wad, pihak hospital perlu sekali lagi mendapatkan kelulusan terakhir bagi bayaran penuh bil hospital. Lazimnya, mana-mana syarikat insurans menetapkan pihak pemegang polisi perlu membayar 10 peratus ko-insurans daripada jumlah bil penuh hospital ketika keluar wad.

“Bagi pemegang polisi Prudential pula, ko-insurans 10 peratus akan dikenakan tetapi syarikat kami meletakkan had minimum bayaran ko-insurans antara RM300 hingga RM1,000. Dengan cara ini, pihak pemegang polisi mendapat manfaat yang lebih kerana walaupun bil sepenuh hospital kemungkinan mencecah RM50,000 tetapi pihak pemegang polisi hanya perlu membayar RM1,000 sebagai bayaran maksimum ko-insurans,” katanya.

Mengulas tempoh penyelesaian tuntutan insurans, Mohd Haniff berkata, jika pihak pemegang polisi membuat bayaran sendiri dulu ke atas bil hospital dan diikuti dengan tuntutan melalui borang ditetapkan, dokumen berkenaan perlu diisi doktor yang merawat pemegang polisi ketika dirawat di hospital.

“Bagi tuntutan kematian, kehilangan anggota badan dan 36 Penyakit Kritikal, semua borang tuntutan ini juga perlukan diisi doktor berserta semua laporan yang relevan contohnya laporan polis, laporan kemalangan, surat kematian/surat pengebumian, sijil kematian dan juga laporan perubatan.

“Proses mendapatkan tuntutan berkemungkinan mengambil masa selama sebulan jika ada dokumen yang tidak lengkap atau tidak cukup. Pemegang polisi perlu berhubung dengan pihak insurans ejen atau melalui pihak Jabatan Pelanggan untuk segala tuntutan,” katanya.

Bagaimana pula pandangan pengguna atau pemegang polisi insurans? Bagi pelanggan insurans Prudential yang hanya mahu dikenali sebagai Loke, soal lewat mendapat bayaran atau kesukaran membuat tuntutan insurans tidak timbul.

“Proses itu sangat mudah dengan adanya bantuan ejen insurans,” katanya yang disahkan menghidap barah otak dan selamat menjalani pembedahan membuang tumor.

Beliau yang kini kembali pulih juga lega kerana tidak perlu pening kepala memikirkan bayaran hospital.

“Ejen insurans, Sarah Ng amat prihatin kerana membantu menyelesaikan tuntutan insurans yang pada mulanya saya ingat hanya dapat dimanfaatkan oleh anak dan isteri apabila saya meninggal dunia. Saya lupa bahawa insurans yang saya bayar setiap bulan itu rupanya memasukkan perlindungan jika kita mengidap penyakit kronik.

“Selepasnya semuanya selesai, barulah saya sedar bahawa industri insurans amat membantu dan begitu cepat bertindak di saat-saat kita amat memerlukan mereka,” katanya.

Info: Maklumat tuntutan insurans Prudential

    • Tuntutan kemasukan wad atau Daily Allowance Benefit, biasanya mengambil masa dua minggu jika segala borang dan dokumen lengkap.
    • Bagi pampasan kematian pula mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan. Namun, pemegang polisi perlu maklum, semuanya bergantung kepada dokumen relevan diperlukan Jabatan Tuntutan Prudential lengkap, tiada sebarang unsur penipuan atau sebarang kegagalan mengisytihar maklumat ketika membeli insurans pada masa hari pertama.
    • Jikalau pemegang polisi ada membuat penipuan atau kegagalan mengisytihar penyakit sedia ada, atau pun pihak ejen insurans tidak mengisytiharkan maklumat sepenuh semasa pemegang polisi mengisi borang insurans, syarikat insurans berhak untuk tidak membayar apa-apa tuntutan kepada pemegang polisi.

Antara manfaat utama insurans kepada pemegang polisinya:

    • Perlindungan – Pembayaran pampasan kematian atau kehilangan anggota badan apabila pemegang polisi menimpa kecelakaan atau kemalangan. Bayaran pampasan dapat membantu keluarga pewaris semasa ketiadaan pemegang polisi. Bayaran pampasan ini boleh digantikan sebagai pendapatan bulanan semasa ketiadaan pasangan sama ada ibu/isteri dan/atau bapa/suami yang sudah meninggal dunia. Ia juga membantu pendidikan anak yang kehilangan ibu atau bapa.
    • Simpanan – Insurans hari ini bukan setakat memberi jaminan perlindungan tetapi juga skim simpanan masa depan pihak pemegang polisi. Elak persepsi negatif duit bayaran premium itu akan hangus. Ini kerana bagi jangka masa panjang, ia boleh dianggap simpanan masa depan atau untuk hari tua.
    • Kad Perubatan – Sebagai bantuan perubatan apabila pemegang polisi perlukan rawatan di panel hospital yang lazimnya hospital swasta. Rawatan perubatan di hospital biasanya melindungi pihak pemegang polisi yang mempunyai kad perubatan. Melalui kad perubatan ini, pemegang polisi dapat kelebihan menggunakan kad perubatan di mana mana panel hospital swasta di setiap negeri apabila terjadinya kecederaan akibat kemalangan atau pun dijangkiti penyakit kronik yang berpanjangan.
    • Pelan Kecemasan – Walaupun ramai memiliki perlindungan disediakan pihak majikan, pemegang polisi yang mempunyai pelan insurans sendiri boleh disifatkan mempunyai kelebihan kerana ada satu pelan ketika waktu kecemasan. Contohnya, pekerja tidak perlu risau ketika berlakunya keadaan seperti pengambilalihan syarikat, syarikat muflis, gabungan syarikat dan seterusnya boleh menyebabkan pihak pekerja hilang kerja.
    • Aset Masa Depan/ Pelan Persaraan – Insurans juga bagi saya boleh disifatkan sebagai asset masa depan atau pelan Persaraan kerana jikalau pemegang polisi sihat sepanjang hayat dan tidak pernah membuat sebarang tuntutan, pada akhir jangkamasa pelan matang, pemegang polisi masih akan mendapat satu jumlah wang simpanan yang dikenali sebagai (maturity value). Ini juga boleh dijadikan sebagai aset masa depan pemegang polisi. Ada juga pelan insurans berunsurkan pelaburan menyifatkan ini sebagai terma “cash value”.

Produk Insurans

    • Insurans hayat
    • Insurans am,
    • Insurans berkaitan pelaburan (investment-linked insuransce plan)
    • Insurans pelan bertempoh (endowment plan) contohnya sehingga 20 atau 30 tahun serta insurans berjangka pendek, maksudnya hanya melindungi jangkamasa setahun.

Artikel dipetik daripada Berita Harian Online.

 
Facebook
Twitter
LinkedIn
Telegram
WhatsApp
Email
Print

Borang Quotation

(nombor yang boleh whatsapp & call)
=
=

Views: 7

SyaihanSirotin.com Hai, tekan loceng untuk terima promosi dan update dari website ini :-)
Dismiss
Allow Notifications