Tuntutan Harta Sepencarian

Prosedur Tuntutan Harta Sepencarian


Menurut Seksyen 2, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah persekutuan) 1984 (Akta 303) harta sepencarian ditakrifkan sebagai:
“Harta yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.”

Harta sepencarian bukanlah hak yang akan diperoleh secara automatik tetapi ia perlu dituntut. Jika ia tidak dituntut, maka hak tersebut akan terlepas selepas proses pembahagian harta diselesaikan.

Tuntutan harta sepencarian juga perlu dibuat pada kadar segera agar ingatan pihak-pihak yang menuntut masih baik dan bukti-bukti penting masih utuh atau sebelum saksi-saksi penting meninggal dunia.

Dalam banyak kes, mahkamah menolak tuntutan harta sepencarian disebabkan tiada bukti yng kukuh serta keterangan saksi yang tidak konsisten dengan tuntutan yang dibuat.
 
Bagaimana Menuntut Harta Sepencarian?

Seseorang isteri boleh menuntut harta sepencarian dalam keadaan berikut:

1) Sewaktu suaminya memohon untuk berpoligami; atau

2) Selepas pasangan suami isteri bercerai; atau

3) Selepas kematian salah seorang daripada suami atau isteri.
 
Langkah-langkah yang perlu dilakukan ialah:

1. Pastikan bahawa wujud harta yang diwujudkan atas nama suami. Sekiranya harta tersebut diletakkan atas nama isteri, maka ianya sudah tidak perlu dituntut. Suamilah yang perlu menuntut ketika itu.

2. Dapatkan salinan bukti pemilikan aset-aset yang hendak dituntut itu. Contoh jika anda henda menuntut hartanah atau rumah, anda mestilah mempunyai geran tanah atau rumah. Lengkapkan dokumen-dokumen yang ada sebagai pembuktian jika tiada dokumen, ianya agak sukar untuk dibuktikan.

3. Sediakan resit-resit pembayaran atau bukti sumbangan anda kepada pasangan anda.Sekiranya anda ada menyumbang wang untuk membantu membuat bayaran kepada pihak bank seperti membuat pinjaman bank membantu pasangan anda dari segi sebahagian perbelanjaan, sila simpan dengan rapi dokumen pinjaman bank atau slip wang masuk bank atau dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

4. Membuat temujanji dengan peguam syarii. Hal yang berkaitan dengan syariah, berjumpa dengan peguam sivil bukanlah tindakan yang tepat kerana mereka tidak mempunyai tauliah untuk beramal di mahkamah syariah. Ini kerana bidang kuasa berkait harta sepencarian hanya wujud di mahkamah syariah.

5. Serahkan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan lengkap kepada peguam syarii.
 
Selepas Pelantikan Peguam.

Selepas anda membuat pelantikan peguam, berikut adalah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak peguam syarii:

1. Menyediakan dokumen saman dan penyataan tuntutan.

2. Memfailkan saman dan pernyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di negeri masing-masing.

3. Kes dibawa ke proses perundingan penyelesaian (sulh). Jika pihak-pihak gagal mencapai persetujuan, maka kes ini akan melalui proses perbicaraan di Mahkamah.

4. Mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan.

5. Saman dan Pernyataan Tuntutan akan diserahkan kepada pihak suami (jika isteri yang membuat tuntutan). Jika suami telah meninggal dunia, saman tersebut perlu diserahkan kepada setiap waris faraid yang terdiri daripada anak-anak, ibubapa, suami dan mungkin juga kepada saudara mara suami (jika tiada anak lelaki).

6. Pasangan anda atau waris-waris melantik peguam, maka pasangan anda atau waris-waris anda akan membela diri dengan memasukkan pembelaan.

7. Selepas itu, Mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan.
 
Apabila menghadiri perbicaraan, anda perlu membawa dokumen-dokumen berikut:

1. Kad pengenalan asal.

2. Dokumen-dokumen asal.

3. Dua orang saksi atau lebih.
 
*Mahkamah merupakan pihak berkecuali. Oleh yang demikian, sesiapa yang mendakwa sesuatu perkara mestilah membekalkan bukti atau saksi-saksi bagi menguatkan pernyataan anda. Sesuatu pernyataan yang tidak disokong dengan bukti tidak akan dieprtimbangkan oleh Mahkamah.
Facebook
Twitter
LinkedIn
Telegram
WhatsApp
Email
Print

Borang Quotation

Go to the full page to view and submit the form.

Views: 9