Rumah masih dalam hutang boleh di hibahkan?

Hibah Bercagar: adakah sah atau tidak untuk dilaksanakan?

SOALAN: 

Bolehkah saya membuat hibah sebagai satu dokumen perancangan untuk harta yang masih bercagar (hutang)? adakah sah atau tidak untuk dilaksanakan nanti? bagaimana pula jika harta tersebut mempunyai perlindungan insurans/takaful (mrta/mrtt), adakah masih tidak sah?

JAWAPAN: 

Sebagai permulaan adalah penting untuk kita fahami berkenaan bidang kuasa undang-undang hibah itu sendiri di Malaysia, seperti yang kita sedia maklum ada dua undang-undang yg diguna pakai di Malaysia, iaitu undang-undang sivil dan shariah. Sebagai pengetahuan, Hibah bidang kuasanya jatuh dibawah undang-undang Shariah di Mahkamah Shariah, undang-undang shariah berteraskan daripada Al-Quran, Hadith, Qias dan Ijma’ Ulama dalam panduan hakim untuk membuat keputusan pengesahan hibah tersebut.

Untuk memastikan bahawa hibah itu sah ada kriteria-kriteria atau rukun dan syarat yang perlu dipenuhi:

1. Pemberi Hibah

2. Penerima Hibah

3. Barang atau harta yang dihibahkan

4. Sighah iaitu Ijab dan Qabul

Maksud Harta Bercagar:

Cagaran bermaksud harta yang dibeli, digadai atau diserah hak(biasanya melalui proses yang sah seperti pendaftaran gadaian keatas hakmilik tersebut) pada institusi kewangan atau kerajaan atau individu sebagai jaminan sebagai menjamin kepentingan peminjam atau institusi kewangan atau kerajaan atau individu yang memberi pinjaman berkenaan untuk membolehkan bayaran pinjaman dikeluarkan kepada penjual atau pemaju.

Hartanah bercagar ini hanya akan dilepaskan dari gadaian dan/atau surat ikatan penyerahan hak akan hanya dibatalkan selepas peminjam (selalunya pemilik hartanah) menyelesaikan segala pinjaman yang menjadikan hartanah tersebut sebagai jaminan sekuriti atas pinjaman yang diluluskan oleh sesebuah institusi kewangan, atau orang perseorangan. Justeru, pemilik hartanah bercagar tidak boleh melakukan transaksi pindahmilik ke atas hartanah bercagar selagi mana pinjamannya tidak diselesaikan. Kekangan atau halangan ini adalah bagi menjamin keselamatan pinjaman yang dilepaskan oleh pihak pemegang gadaian, atau penerima serah hak. 

Bagi persoalan status hibah harta bercagar, mari kita fokus berkenaan rukun yang pertama (1) dan ketiga (3) iaitu pemberi hibah  dan barang atau harta yang dihibahkan. 

Pemberi hibah:📌

Hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd (matang dan berkemampuan menguruskan harta). Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh sebab pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

Barang atau harta yang hendak dihibahkan 📌  Aset tersebut perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

a. Ia hendaklah barang atau harta yang halal. 

b. Ia hendaklah sejenis barang atau harta yang mempunyai nilai di sisi syarak. 

c. Barang atau harta itu milik pemberi hibah.

d. Ia boleh diserahmilikkan. 

e. Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.

f. Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. 

PANDANGAN MAZHAB SYAFIE DAN HAMBALI

persoalan utama yang timbul dalam kes hibah hartanah bercagar adalah tentang persoalan pemilikan harta pemberi hibah, iaitu dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis), kerana harta tersebut bukan milik sepenuh pemberi hibah kerana masih ada lagi kepentingan atau hak pemegang gadaian. 

Atas asas ini, maka mazhab Syafie, dan Hambali menganggap hibah hartanah bercagar adalah tidak sah lantaran elemen qabd, dan tasarruf juga gagal dipenuhi dalam syarat hibah bersama ijab dan qabul. Tasarruf ialah sesuatu perbuatan yang mendatangkan kesan syarak terhadap sesuatu seperti jual beli, hibah, wakaf, dan sebagainya. 

Pandangan ini juga menyatakan bahawa hartanah bercagar merupakan jaminan yang berada di bawah kuasa pemegang gadaian. Oleh itu, hibah yang dilakukan ke atas hartanah bercagar dianggap sebagai sesuatu yang tidak memenuhi syarat pembentukan akad kerana dilakukan oleh orang yang tiada kelayakan untuk berbuat sedemikian.

PANDANGAN MAZHAB MALIKI DAN HANAFI

Walau bagaimanapun, terdapat ulama’ yang membenarkan hibah bagi hartanah yang milik orang lain, asalkan mendapat kebenaran pemilik hartanah tersebut. Keizinan pemilik hartanah tersebut pula tidak semestinya semasa akad hibah, tetapi boleh berlaku selepas ijab dan kabul. Kelayakan (wilayah) merupakan syarat al-nafadz(semasa akad berlangsung) yang boleh ditangguhkan hingga mendapat keizinan pemegang cagaran dan ia bukan sebagai syarat pembentukan akad.

Berdasarkan pandangan tersebut, ada yang berhujah bahawa hibah hartanah bercagar adalah dibolehkan. Hartanah bercagar masih bukan milik sempurna tuannya. Ada pihak ketiga yang berkepentingan iaitu penerima cagaran, selalunya institusi kewangan. Tetapi hibah masih sah, jika pihak institusi kewangan memberi kebenaran walaupun lama selepas akad hibah dibuat. Institusi kewangan akan bagi kebenaran selepas proses tebus hutang selesai. Tebus hutang boleh berlaku dengan sebab adanya takaful atau insuran yang melindungi hutang peminjam (selalunya pemilik hartanah) yang meninggal dunia.

KEPUTUSAN MAHKAMAH SYARIAH

1) Dalam kes Awang bin Abdul Rahman lwn. Shamsuddin bin Awang & lainlain, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan bahawa hibah hartanah bercagar adalah tidak sah kerana ia bukan pemilikan sempurna harta tetapi sebagai satu tanggungan. 

2) Dalam kes Wan Noriah binti Wan Ngah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu juga menolak permohonan pengesahan hibah dalam kes hartanah yang masih di bawah pembiayaan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia.

3) Berlainan halnya dalam kes Raihanah Binti Mohd Ali lwn. Kamaruddin bin Mohd Nor & Lain-lain [2008] 26(2) JH 253, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu telah menolak permohonan plaintif untuk mengesahkan hibah yang telah dibuat oleh adiknya (si mati) kepadanya atas alasan tiada bukti yang menunjukkan bahawa si mati telah meminta kebenaran daripada pembiaya skim BBA (bai’ bi thaman ajil) untuk membolehkannya menghibahkan hartanah tersebut kepada plaintif. Walau bagaimanapun, hakim syarie dalam alasan penghakimannya menyebut bahawa hibah ini boleh jadi sah jika kebenaran dari pemegang cagaran diperolehi. Mahkamah tidak menerima tentang fakta kewujudan takaful yang melindungi hutang pemberi hibah sebagai keizinan tersirat. Keizinan pemegang cagaran hendaklah dibuktikan secara jelas, dan pemohon dalam kes ini telah gagal membuktikan elemen ini.

4) Yang lebih menarik adalah dalam kes Yati Suraya lwn. Supiah Binti Abu, mahkamah syariah Negeri Sembilan membenarkan hibah hartanah bercagar walaupun tanpa izin pemegang gadaian asalkan hartanah bercagar tersebut dilindungi sepenuhnya oleh takaful/insuran. Ini adalah kes yang terbaru.

Berdasarkan kes-kes ini, bolehlah kita bahagikan keputusan mahkamah syariah kepada tiga (3) kecenderungan: 

1. Hakim syarie yang menolak hibah hartanah bercagar secara mutlak. Mereka melihat bahawa pemberi hibah tiada keahlian (wilayah) ke atas harta hibah dan tidak layak untuk melakukan tasarruf atas harta hibah. Pemilikan harta hibah adalah pemilikan tidak sempurna. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Syafie, dan Hambali. Kewujudan insurans/takaful tidak dianggap sebagai satu keizinan daripada pemegang gadaian.

2. Hakim syarie yang membenarkan hibah hartanah bercagar sekiranya mendapat izin daripada pemegang gadaian, atau pemegang kuasa wakil. Keizinan ini hendaklah diperolehi secara zahir/tersurat. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Hanafi. 

3. Hakim syarie yang membenarkan hibah hartanah bercagar asalkan terdapat takaful/insuran yang melindungi keseluruhan pinjaman terhadap hartanah terbabit walaupun tiada keizinan secara zahir daripada pemegang gadaian, atau pemegang kuasa wakil. Takaful/insuran yang melindungi harta hibah itu sendiri adalah keizinan secara tersirat yang akhirnya transaksi tabarru’ itu boleh menjadi kenyataan. Mereka cenderung kepada pendapat dalam mazhab Maliki.

RUMUSAN

1.Hibah harta bercagar mempunyai kemungkinan dan risikonya yg tersendiri dalam pengesahannya di Mahkamah Syariah,

2.Tidak salah membuat hibah untuk harta bercagar, tetapi kita wajib memahami risiko dan menerima kemungkinan hibah itu ditentang dan ditolak oleh makhkamah.

3. Penyataan “hibah harta bercagar adalah sah sepenuhnya atau tidak boleh dicabar” adalah satu penyataan yg tidak bertanggungjawab.

4. Status mrta/mrtt sebagai perlindungan hutang ke atas harta bercagar tidak boleh menjamin 100% sah sesuatu hibah.

5. Keputusan sah sesuatu hibah masih lagi tertakluk kepada keputusan hakim sama ada cenderung ke atas mazhab Syafie dan Hambali atau mazhab Maliki dan Hanafi

6. Keputusan hakim pada kes terdahulu tidak mengikat hakim yang lain dalam membuat keputusan yang baru dan mereka bebas untuk berijtihad.

7. Perundangan di Malaysia khususnya perundangan shariah perlu lebih proaktif untuk menyelesai masalah  Hibah ini untuk mengelakkan kekeliruan dikalangan masyarat dan kesukaran kepada pengamalan perundangan dan perancangan harta pusaka Islam dalam memberi khidmat nasihat dan penyediaan dokumentasi yg lebih tepat dan jitu.

 
Klik sini untuk pembelian

Buku Praktis Hibah di Malaysia

Alias Azhar, 2017

ISBN 978-967-2064-21-3, 136 hlm., RM 28.00

“Buku ini membahaskan instrumen hibah aspek konsep dan realiti amalannya di Malaysia. Secara asasnya, hibah bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara sukarela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan.”
 
Facebook
Twitter
LinkedIn
Telegram
WhatsApp
Email
Print

Borang Quotation

(nombor yang boleh whatsapp & call)

What is 7+4?

What is 7+4?

Visits: 3

SyaihanSirotin.com Hai, tekan loceng untuk terima promosi dan update dari website ini :-)
Dismiss
Allow Notifications